EMPOWER Malaysia organised a writing competition for aspiring writers with the theme “YOUth of Tomorrow”. This is one of the top entries in the essay category, written by W.N Khuzairey.
“apa yang sudah dibaca Kartini digenggamnya terus di dalam tangannya, dan ikut memperkuat moralnya” Pramoedya Ananta Toer, Panggil Aku Kartini Saja
ANTARA pemikir terkemuka Nusantara yang perlu dibaca, dikaji dan dicontohi terkait dengan idea emansipasi dan humanisasi sudah tentulah Kartini. Raden Kartini (1879-1904) adalah seorang wanita yang fikiran, tekad dan semangatnya jauh ke hadapan mengatasi zamannya. Sungguhpun riwayat hidupnya pendek, namun hasil tulisan dalam surat-surat beliau menjadi cetusan kepada idea-idea kritis, kesungguhan intelektual, kefahaman budaya dan yang paling penting menjadi suara moral dan etika buat kita semua hari ini.
Namun, yang paling menonjol dalam tulisan beliau sudah tentu mengenai persoalan nasib perempuan dalam masyarakatnya. Sungguhpun Kartini lahir dalam kalangan keluarga bangsawan, ia sedikit pun tidak membawa beliau kepada sifat kebangsawanan yang arogan, sebaliknya mempamerkan sifat bangsawan yang berfikir. Pendirian hidup Kartini adalah “hormatilah segala yang hidup, hak-hak dan perasaannya” Ini adalah pegangan yang konsisten tampil dalam pelbagai ucapan dan luahan pemikiran dan hati beliau.
Dari surat-surat dan makalah yang beliau tulis, Kartini memperlihatkan kematangan pemikiran beliau kerana setiap kritikannya hadir dengan alternatif atau jalan keluar kepada kekusutan yang sedang membelenggu masyarakatnya. Dalam tulisannya juga dapat kita kesani buah fikiran yang mahukan perbaikan. Di dalam makalah ini akan memfokuskan hanya kepada tiga poin penting terutama sekali yang terkait dengan keadaan masyarakat kontemporari iaitu 1) mengenai hak dan peranan perempuan; 2) pentingnya pendidikan; 3) merenung keagamaan yang humanis.
Mengenai Hak dan Peranan Perempuan
Kartini merupakan seorang wanita yang tak pernah jemu memperjuangkan hak kaumnya untuk mendapat layanan yang adil dalam masyarakat. Bagi beliau wanita haruslah dihormati hak dan peranannya. Beliau berkeyakinan bahawa penyertaan perempuan dalam proses pembangunan adalah penting dan tidak boleh dientengkan ini sesuai dengan suratnya kepada Stella Zeehandelaar tanggal 9 Januari 1901:
“Dengan sepenuh hati saya benarkan bahawa perempuan menjadi soko guru peradaban! Bukan karena perempuan yang dipandang cakap untuk itu, melainkan karena saya sendiri sungguh yakin bahwa perempuan dapat menimbulkan pengaruh dan akibat yang besar dalam hal membaikkan maupun memburukkan kehidupan. Perempuanlah yang paling banyak dapat membantu memajukan kesusilaan manusia.”
Bahkan bagi kaum wanita yang telah bergelar ibu sekalipun, Kartini menasihatkan supaya diberi pendidikan yang tinggi kerana beliau berkesimpulan bahawa tugas mendidik anak bangsa terletak kepada peranan para ibu. Untuk menjalan tugas besar ini, mereka harus dididik terlebih dulu. Dalam catatannya dituliskan “bagaimana sekarang ibu-ibu Jawa dapat mendidik anak-anaknya kalau mereka sendiri tidak terpelajar? Peradaban dan kecerdasan bangsa Jawa tidak akan dapat maju dengan baik jika kaum perempuannya terbelakang. Majukanlah pendidikan perempuan Jawa.”
Kepentingan Pendidikan
Berhadapan dengan kolonialisme, Kartini mengerti bahawa tidak ada cara untuk membebaskan diri dari cengkaman penjajah baik dari segi fizikal mahupun pemikiran selain dari mendapatkan pendidikan yang baik. Pendidikan bagi beliau mencakupi pendidikan membangun kecerdasan fikiran juga membangunkan perasaan, nilai dan hati budi. Oleh itu pernah beliau suarakan supaya pemerintah Belanda menyediakan pendidikan kepada bangsa Jawa kerana itu adalah hak mereka hak sebagai seorang manusia:
“Orang Jawa hendaknya diberi bacaan yang ditulis dalam bahasa populer dan dapat dipahami setiap orang. Bukan khotbah juga bukan ucapan sehari-hari yang semberono dan kurang berisi, melainkan cerita yang disajikan dengan sederhana, segar dan memikat hati. Karangan mengenai sebahagian dari kehidupan yang nyata, dari zaman sekarang, zaman lampau, juga dari dunia angan-angan, dan hendaknya terus menerus diingat. Harus selalu ada dasar tata susila, dasar mendidik!”
Pendidikan yang tersedia itu haruslah pendidikan yang menghadap masalah selain bernada semangat dan memberi harapan. Ini semua dapat dikecapi melalui pembacaan dari buku yang berkualiti. Disebabkan itu Kartini berpendapat harusnya ada ruangan dialog daripada pembaca kepada penulis secara terus. Agar setiap persoalan yang membelenggu masyarakat dapat difahamkan dan dihuraikan dengan baik.
Namun Kartini juga sedar bahawa pendidikan tidak hanya berlaku pada masyarakat bawah, kelompok bangsawan juga harus mendapat pendidikan yang berkualiti supaya boleh menjadi bangsawan yang berfikir dan dapat memimpin masyarakat ke arah kebaikan.
Merenung Keagamaan yang Humanis
Dalam surat-surat yang ditulis oleh Kartini banyak juga menyentuh isu persoalan agama dan kerohanian. Beliau mengakui tidak tahu banyak tentang agama Islam, serta tidak memahami makna dalam Al-Quran yang dibacanya. Namun begitu, bukan bererti Kartini itu terpisah atau teralienasi dari tradisi agamanya kerana beliau banyak memaparkan kedalaman kerohanian apabila membicarakan soal agama.
Kartini meyakini bahawa agama yang dianuti umat beriman semuanya membawa kebaikan dan keberkatan, dan persaudaraan. Tuhan Sang Pencipta adalah pemersatu manusia: “Agama dimaksudkan supaya memberi berkah. Untuk membentuk tali persaudaraan di antara semua makhluk Allah, berkulit putih atau coklat. Tidak pandang pangkat perempuan atau lelaki, kepercayaan semuanya kita ini anak Bapa yang Satu itu, Tuhan yang maha Esa!”
Lantas beliau mempertanyakan jika agama memberikan kerahmatan, mengapakah ada orang berlaku tidak baik tetapi dibuatnya sedemikian atas nama agama? Dalam satu tulisannya menulis “Benarkah agama itu berkah bagi manusia? Aku kerap bertanya kepada diriku sendiri dengan bimbang hati. Agama harus menjaga kita dari berbuat dosa, tetapi berapa banyak dosa diperbuat orang atas nama agama?” Kemudian dijawabnya pula, bahawa yang salah bukan pada agama, tetapi manusia itu sendiri.
Kesimpulan
Kartini adalah seorang pemikir yang sangat sofistis di mana aliran pemikiran beliau mendahului zamannya. Sudah tentulah segala persoalan, buah fikirannya bukanlah untuk mencari musuh sebaliknya mahu mencari titik perdamaian dan ramuan untuk memajukan bangsanya, memberi nafas emansipasi ke hadapan. Jadi sebenarnya tidak wajar sekiranya hari ini masih ada perbandingan antara kerasionalan pemikiran lelaki lebih tinggi dari wanita kerana Kartini telah membuktikan sebaliknya. Visi. Matlamat dan kemoralannya cukup tinggi dah harus dicontohi baik lelaki mahupun wanita. Inilah emasipasi yang menjadi suaranya dan harus kita semua sahuti.
Rujukan
A. Kartini, Habis Gelap Terbitlah Terang. Jakarta: PT Buku Seru, 2010
Surat Kartini Kepada Nyonya Ovink Soer, awal tahun 1900. dlm Aguk Irawan, Kartini Kisah yang Tersembunyi. Banten: PT Kaurama Buana Antara, 2016,
Th. Sumartana, Tuhan dan Agama dalam Pergulatan Batin Kartini. Yogyakarta: Gading Publishing, 2013
Pramoedya Ananta Toer, Panggil Aku Kartini Saja. Jakarta: Lantera Dipantera, 2003.
Comments