top of page
Writer's picturemyempower

“Akak harap kerajaan dapat tolong peniaga kecil. Akak harapkan sepanjang PKP ini, kita boleh d

EMPOWER berpeluang untuk menemuramah Kak Aziema, seorang peniaga kecil di Selangor yang mendapati kehidupannya terjejas disebabkan oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia. Beliau bertanggungjawab dalam menanggung perbelanjaan keseluruhan keluarganya seramai lima orang, termasuk seorang anak yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU). Dua orang anaknya sudah bekerja, tetapi salah seorangnya yang bekerja di kedai serbaneka, telah direhatkan oleh majikannya semenjak PKP dimulakan, dua orang lagi anaknya berumur 13 dan 4 tahun.

Boleh akak terangkan sedikit mengenai keadaan akak semenjak PKP dimulakan?

Akak memang terasa sangat terkesan. Sejak PKP bermula pada 18 Mac, Akak hanya dapat berniaga selama 2 hari, walaupun Akak sewa tapak dekat kedai makan. Lepas itu, polis datang dan suruh tutup kedai. Sampai hari ini, Akak langsung tak ada sumber pendapatan.

Ada tak akak cuba menjual makanan melalui hantaran makanan?

Ada, dan ada yang menolong membuat penghantaran. Tetapi polis masih suruh tutup kedai kerana restoran-restoran besar sahaja diberi kebenaran beroperasi. Bila orang buat penghantaran, polis tahan, dan suruh balik. Sejak itu kami tak berani beroperasi. Simpanan Akak hanya cukup untuk bertahan mungkin paling lama pun 2 minggu untuk sara diri dan keluarga.

Setakat ini, adakah Akak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau sebarang bantuan lain dari kerajaan?

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akak dapat tapi Bantuan Sara Hidup (BSH) akak langsung tak pernah dapat. Akak sudah cuba membuat pendaftaran untuk bantuan tadi tapi mungkin sebab ramai sangat yang sedang mendaftar dalam sistem online Bantuan Prihatin Nasional (BPN) jadi Akak belum lagi mendapat jawapan. Akak juga ada minta bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Akak secara online tapi belum juga ada jawapan.

Adakah Akak merancang untuk mengeluarkan simpanan Akak dari KWSP? (Kerana Kerajaan membenarkan pengeluaran bulanan sebanyak RM500 untuk selama 6 bulan)

Ya, Akak terpaksa keluarkan. Walaupun untuk pinjaman rumah, bank dah tangguhkan bayaran – Akak masih ada belanja lain yang perlu ditanggung. Sewa tapak kedai tetap kena bayar, kos sebulan RM700. Memang tak dapat bayarlah sebab tak ada duit sekarang sebab tak boleh berniaga. Mungkin lepas ini, Akak tak boleh sewa kat situ lagi dah sebab tak mampu nak bayar.

Selain dari pendapatan yang hilang, ada tak perkara lain yang merisaukan Akak kalau PKP ini dilanjutkan sampai puasa?

Ya, memang risau sangat sebab anak sulung yang baru kahwin adalah orang kelainan upaya (OKU). Kedua-dua kakinya tercedera dalam kemalangan. Akak risau dengan kos kehidupan dia nanti. Sebelum ini dia bekerja di kedai serbaneka tapi sekarang disebabkan oleh PKP, dia terpaksa direhatkan daripada bekerja oleh majikannya, jadi sumber pendapatannya sekarang pun dah terjejas.

Adakan Akak meminta bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)?

Sudah minta bantuan tapi masih menunggu jawapan. Sudah 3 kali pergi buat rayuan, tetapi masih belum ada jawapan, jadi setakat ini kami hanya kena pasrah sahaja. 

Apakah harapan Akak kepada kerajaan atau mungkin ada cadangan untuk membantu wanita peniaga kecil yang dihimpit akibat kesan pandemik COVID-19 ini?

Akak harap kerajaan dapat tolong kami peniaga kecil yang berwarganegara Malaysia ini. Akak harapkan sepanjang PKP ini, kita boleh dapat bantuan modal sehinggalah keadaan kita mampu pulih semula.

0 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page