Kebiasaannya, bila kita terdengar saja sesiapa menyebut nama ‘Che’ Siti Wan Kembang’, yang dirujukkan ialah fesyen wanita bersejarah ini, yang hingga ke hari ini masih mempengaruhi rekaan busana pereka-pereka tempatan. Yang jarang disebut atau diperbincangkan ialah signifikasi juga relevansi ikon ini selaku salah satu tokoh feminis terawal di Malaysia.
Di masa kita masih rancak memperdebatkan jika seorang wanita layak untuk memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia suatu hari kelak, kita lupa bahawa suatu ketika dulu pada usia hanya 30 tahun, Che’ Siti Wan Kembang telah bangkit sebagai wanita pertama yang memimpin sesebuah negeri di era Kesultanan Melayu. Di bawah pemerintahannya, yang bermula tahun 1610 sehingga 67 tahun lamanya, Kerajaan Negeri Serendah Sekebun Bunga (Kelantan) kekal harmoni dan berkembang pesat menjadi tumpuan saudagar serantau dunia.
Anak kepada Sultan Ahmad dan Sultanah Cik Banun, beberapa sumber mengatakan Che’ Siti Wan Kembang seorang kanak-kanak yang genius. Di usia muda dia sudah mahir membaca hikayat-hikayat lama dan gigih mempelajari seni mempertahankan diri daripada pahlawan-pahlawan istana. Malangnya, Sultan Ahmad jatuh sakit dan mangkat pabila Che’ Siti Wan Kembang berusia 4 tahun. Sebagai satu-satunya waris Sultan Ahmad, Che’ Siti Wan Kembang masih terlalu muda untuk menaiki takhta pemerintahan Kelantan maka tanggungjawab itu pun diamanahkan kepada Raja Hussein. Sementara itu, Che’ Siti Wan Kembang dihantarkan ke negeri-negeri asing termasuk Pattani, Acheh dan Mekah untuk melengkapkan dirinya dengan pendidikan dan kemahiran yang boleh membentukkan baginda sebagai pemerintah yang masyhur tiba masanya kelak.
Lalu, setelah kemangkatan Sultan Hussein pada tahun 1610, Che’ Siti Wan Kembang pun ditabalkan sebagai Raja Kelantan yang keenam.
Di awal pemerintahannya, kebijaksaan Che’ Siti Wan Kembang terserlah apabila baginda membuat keputusan untuk membina dua pusat pentadbiran demi memperkukuhkan Kelantan, sebagai langkah keselamatan sekiranya salah satunya diserang. Asalnya bersemayam di Gunung Chintawangsa, Ulu Kelantan, baginda mengarahkan pembinaan kota pentadbiran baru di Kota Tegayong. Kedudukan Kota Tegayong sebagai pelabuhan telah menarik perhatian para saudagar Jepun, China, Inod-China, Arab dan Eropah, menggalakkan perdagangan dan perkongsian.
Maka, di bawah pemerintahan Che’ Siti Wan Kembang, Kelantan menikmati pembangunan ekonomi yang pesat dan kadar jenayah yang rendah. Beliau turut menitik beratkan warisan seni dan budaya seperti Mak Yong, teater wayang kulit dan permainan gasing. Menyedari kepentingan pendidikan dan pembangunan sahsiah sebagaimana yang telah baginda sendiri pelajari, Che’ Siti Wan Kembang menjemput ulama-ulama untuk datang ke Kelantan untuk membekalkan pendidikan kepada rakyatnya. Baginda juga percaya pada hak sama rata terhadap pendidikan, tak mengira jantina.
Selain kebijaksanaan dan peribadi yang disenangi, legenda kecantikan Che’ Siti Wan Kembang juga merentasi sempadan negerinya, sehinggakan ramai kerajaan menghantarkan rombongan untuk meminang baginda. Akan tetapi, setiap pinangan itu ditolak dengan mulia, dikhabarkan kerana baginda khuatir akan mencetus konflik serantau sekiranya baginda dilihat sebagai menyebelahi mana-mana kerajaan lain. Maka, demi kesejahteraan rakyatnya, tidak pernah terlintas di fikiran baginda untuk berkahwin.
Che’ Siti Wan Kembang ialah ikon sejarah berstatus legenda, dan sebagaimana kisah-kisah legenda yang tidak mempunyai bukti-bukti sejarah yang lengkap, ceritera hidupnya ada yang disalah tafsir kalau tidak pun diperkayakan menjadi mitos. Biarpun berperwatakan mulia, Che’ Siti Wan Kembang juga mempunyai reputasi sebagai seorang srikandi yang digeruni kerana kemahirannya menunggang kuda dan memanah. Menariknya, ada sumber menyatakan apabila menerima lamaran daripada putera-putera asing, Che’ Siti Wan Kembang telah meletakkan syarat bahawa baginda akan mengahwini putera yang boleh mengalahkan baginda dalam pertempuran – dan tiada calon pun yang berani menyahut cabaran tersebut! Legenda juga menggambarkan Che’ Siti Wan Kembang mengetuai rombongan peperangan bersama pasukan pahlawan-pahlawan wanita yang berkuda.
Di antara banyak-banyak percanggahan cerita tentang baginda, ada yang mengatakan kesilapan utama yang dibuat berkaitan legenda Che’ Siti Wan Kembang ialah pada namanya sendiri. Mengikut sejarah, nama sebenarnya ialah Che’ Wan Kembang,. Dipercayai pedagang Arab memberinya gelaran “Siti” apabila mengadap Che’ Wan Kembang, satu gelaran yang membawa erti perempuan yang menjadi ketua atau pemerintah.
Namun, mitos yang kerap diulangi ialah yang menyentuh perihal kemangkatan baginda, kerana setelah bersara daripada takhta pemerintahan, Che’ Siti Wan Kembang membawa diri ke Gunung Ayam untuk memenuhkan sisa-sisa hidupnya dengan ibadah kepada Allah, lalu terus hilang daripada mata pengikut-pengikutnya. Hingga ke hari ini kuburnya masih belum dijumpai, maka ramai yang percaya bahawa di akhir kehidupan baginda, Che’ Siti Wan Kembang telah ghaib ke alam kayangan.
Sama ada kita berpegang pada bukti sejarah atau merelakan diri dibuai cerita dongeng yang semestinya lebih dramatik dan seronok untuk dipercayai, pengaruh Che’ Siti Wan Kembang sukar disangkal, malah boleh dilihat hingga ke hari ini. Sejarah mendapati haiwan kegemaran Che’ Siti Wan Kembang ialah kijang emas, yang pernah dihadiahkan kepada baginda lantas baginda zahirkan menjadi mata wang dinar emas kerajaan Kelantan, iaitu antara duit syiling emas terawal Kesultanan Melayu.
Pada tahun 1916, Kelantan menerapkan lambang kijang pada jata negeri Kelantan untuk mengingatkan kembali sejarah kemasyhuran Permaisuri Kelantan, Che’ Wan Kembang. Pada tahun 1964 pula, Gabenor Bank Negara Malaysia yang pertama, Allahyarham Tun Ismail Mohamed Ali mencedok inspirasi daripada dinar emas Kelantan dan mejadikan motif kijang sebagai logo Bank Negara Malaysia. Maka, hingga ke hari ini, pada setiap wang kertas yang kita pegang sehari-hari, terteranya simbol keagungan satu-satunya pemimpin dan pahlawan wanita yang pernah memerintah di Malaysia.
Commenti