top of page
Writer's picturemyempower

Cukuplah

Updated: Sep 10, 2021

Senario 1: Seorang remaja lepasan SPM menunggu surat tawaran dari universiti pilihannya untuk program yang ayahnya inginkan untuknya: Ijazah Perakaunan di UKM. Keputusan SPM baik, hampir semua A. Pengawas Sekolah. Kadet Polis. Kelab Sastera Melayu. Persatuan Catur. Cukup tak?

Senario 2: Seorang Illustrator freelance baru sahaja menghantar fail terakhir kepada klien terbaru. Dia berehat sebentar dan melihat Instagram. Illustrator lain boleh post hari-hari. Dia hanya dapat post setiap minggu. Followernya belum 1000. Kerja baru belum masuk. Cukup tak?

Senario 3: Seorang ibu bersiap untuk ke pejabat. Dia menjenguk ke arah suaminya yang masih tidur. Dia singgah ke bilik anak-anaknya. Semuanya masih tidur. Dia tidak dapat ingat kali terakhir mereka semua bersarapan bersama. Tetapi bos dah mula WhatsApp. Cukup tak?

Ketiga-tiga wanita tersebut penat. Ketiga-tiga tak cukup tidur. Ketiga-tiga rasa seperti mereka hanya akan mengecewakan keluarga, kawan-kawan, klien, dan bos mereka. Mereka semua juga tidak dapat mengaku yang mereka takut untuk mengecewakan orang yang paling penting — diri mereka sendiri.

Mengapakah kita seringkali mengaitkan harga diri sendiri kepada pendapat orang lain? Mengapakah kita susah sekali untuk memuaskan standard mustahil yang kita tetapkan untuk diri sendiri?

Cukuplah.

Membesar di negara berbudaya timur seperti Malaysia, wanita selalu diingatkan yang kita harus berkorban dan hidup untuk orang lain. Belajar supaya ibu bapa bangga dengan keputusan yang cemerlang, kerana keputusan yang sekadar “baik” tak mencukupi. Graduate dengan degree yang kononnya akan menyediakan kita untuk industri yang kononnya lumayan: perbankan, guaman, perubatan, dan sebagainya.

Bila dah dapat pekerjaan yang OK, jangan lupa untuk berkahwin dengan lelaki dari keluarga yang “baik”, tak kisahlah kalau lelaki itu sendiri baik atau tidak. Beranak tiga walaupun kita sebenarnya mahu simpan duit dulu untuk mendaki gunung Everest, untuk menyelam lautan di Maldives. Bekerja dari Subuh ke Isyak mengejar gaji besar, tetapi kereta besar hanya untuk bergerak macam siput atas Federal Highway setiap pagi dan petang, dan rumah besar hanya untuk mandi dan tidur.

Hantar anak ke kelas Taekwondo, Violin, Bahasa Mandarin. Brunch dengan kawan-kawan dari sekolah di kafe terbaru (jangan lupa Instagram!) Ditegur oleh mak dan ayah, “Kenapa balik sekali seminggu je?” Mengejar deadline pada hujung minggu kerana bos kata, “Klien dah tak boleh tunggu, kalau kau tak siapkan report ni, diorang tak akan renewkan kontrak.” Shopping online supaya tak pakai baju yang sama ke pejabat bulan depan.

Cukuplah.

Bila nak cukup? Bila kita nak hidup untuk diri sendiri? Bila kita nak uninstall Instagram supaya tak nampak lagi semua influencer? Bila kita nak berhenti kerja supaya tak perlu jumpa lagi bos yang tak memahami? Bila kita nak beritahu suami yang kita memerlukan masa untuk berehat, dan boleh tak mereka tolong jaga anak sekejap? Bilakah kita akan mementingkan keperluan diri sendiri? Apakah itu “burnout”? Mengikut National Center for Biotechnology Information, tanda-tanda burnout termasuk:

1. Keletihan yang ekstrem. Ini termasuk keletihan fizikal dan/atau mental, dan seseorang boleh juga menghidap sakit di bahagian abdomen. 2. Tidak lagi berminat untuk bekerja. Ramai yang menghidap burnout berasa yang pekerjaan mereka terlalu stress, dan tidak mempunyai semangat bekerja langsung. 3. Prestasi kerja dan kehidupan harian menurun. Seseorang boleh merasa sangat negatif tentang tugasan harian, tak kira di pejabat atau di rumah, dan tidak lagi kisah tentang orang lain.

Burnout itu sesuatu yang sangat memudaratkan. Sesetengah orang tidak mempedulikan tanda tanda burnout dan terus bekerja, terus bersaing, terus mengejar apa yang mereka fikir mereka patut kejar. Tetapi burnout telah lama menawan mangsa, satu demi satu. Ada di antara kita yang ada temujanji tetap dengan pakar psikologi dan psikiatri. Ada yang perlu menelan ubat anti-anxiety. Dan ada di antara kita yang telah meninggal dunia akibat stress. Semua kerana kita mementingkan pendapat orang lain tentang diri kita.

Menurut kajian yang disebut dalam The Star, 29% penduduk Malaysia menghidapi penyakit depression (kemurungan) dan generalized anxiety disorder (kecelaruan keresahan menyeluruh) pada tahun 2017 berbanding dengan 12% pada tahun 2011. Ini disebabkan kenaikan tekanan kerja dan keluarga. Patron Malaysian Psychiatric Association (MPA), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, “Kebanyakan orang berasa amat sukar untuk menangani masalah yang dihadapi di tempat kerja dan tidak dapat mengawal tahap stress. Ini menjadi lebih susah apabila seseorang inividu menghadapi masalah daripada ahli keluarga dan tidak menerima sokongan emosi.”

Kita harus mementingkan kesihatan mental, fizikal, dan juga rohani. kita tidak terlalu lewat untuk mengatur semula kepentingan hidup kita. Biarkan orang lain berkata yang kita selfish. Ada sebab yang sangat penting mengapa di dalam kapal terbang, apabila berlakunya kecemasan, kita disarankan untuk memasang topeng oksigen kita sendiri sebelum membantu orang lain. Kalau kita tak dapat bernafas, macam mana kita nak tolong orang lain? Kalau kita tak menjaga kesihatan diri sendiri secara menyeluruh dan holistik, bagaimanakah kita akan menolong orang lain?

Cukuplah.

Cuba simpan diari. Sebelum tidur, catitkan apa yang kamu rasa tentang hari yang baru sahaja kamu alami. Fokus kepada yang positif. Apa yang memberi inspirasi, apa yang memberi kepuasan diri. Fikirkan apa yang kamu mahu lakukan pada hari esok. Biarkan senarai ini pendek. Lebih baik kamu lakukan 5 perkara dengan elok berbanding 10 perkara secara ala kadar.

Uninstall Facebook, Instagram, Twitter, dan apa lagi aplikasi laman sosial dari telefon kamu. Ini akan membantu kamu untuk berhenti asyik membandingkan diri kamu dengan kehidupan orang lain. Orang lain boleh post OOTD hari-hari? Baguslah untuk dia. Apabila kamu uninstall aplikasi-aplikasi ini, kamu juga akan berhenti meresap kata-kata negatif yang sering dilontarkan antara penduduk Twitterjaya dan ruangan komen.

Jangan asyik menjanjikan macam-macam. Fikir betul-betul akan masa yang kamu ada, sebelum menambah lagi tugasan berlebihan. Pada masa yang sama, lihat semula komitmen yang sedia ada. Bolehkah kamu mengurangkan komitmen kamu? Di manakah kamu boleh menjimatkan wang dan masa?

Cukuplah.

4 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page