top of page
Writer's picturemyempower

Demi Negara Tercinta

EMPOWER Malaysia organised a writing competition for aspiring writers with the theme “YOUth of Tomorrow”. This is one of the top entries in the short story category, written by Muhamad Hazman bin Norhamzah.


A Malaysian flag waving, an image for the short story Demi Negara Tercinta by Muhamad Hazman bin Norhamzah
Image Description: A Malaysian flag waving, against the backdrop of a blue sky with white clouds

Pesawat yang dinaiki baru sahaja mendarat di bumi Michigan, Amerika Syarikat. Berada dalam perut kapal terbang selama 16 jam amat meletihkan. Aku terus melangkah keluar dari pesawat terus terpegun melihat keindahan ciptaan Allah SWT. Sungguh beruntung buat insan kerdil ini dapat melangkah kaki di sini.


Salju yang turun memutih memenuhi segenap ruang pandangan mata ini. Memang menakjubkan keindahan alam yang Tuhan ciptakan. Udara sejuk menyapu lembut mukaku dan aku mulai terkenangkan ibu, ayah dan adik. Alangkah bahagianya jika mereka dapat bersama menikmati musim sejuk yang tidak pernah menjengah bumi tumpahnya darahku, Malaysia. Masih terbayang-bayang esak tangisan ibu dan adik yang menghantar tadi. Masih terngiang-ngiang kata nasihat ayah tua. Andainya adik bongsu ku, Hasanah masih ada.

“Zaki ! Cepatlah ambil bagasi tu. Mr. David dah menunggu kita. Kita perlu ke Universiti untuk daftar pelajar baru dan selesaikan I-20 kita ni. Lepas selesai semua tu, barulah kita dapat masuk ke penginapan kita” Lamunanku terhenti dan segera menoleh ke arah suara yang melaungkan namaku. Aku mengangguk.


Agak kekok bagiku untuk menaiki kereta yang dipandu di sebelah kiri. Salju yang mulai mencair menjadi lebih licin sehinggakan aku tergelincir dan jatuh terduduk di depan pintu kereta. Berkali-kali aku cuba untuk bangun dan berdiri tegak, namun gagal. Akhirnya Miss Joanne yang datang bersama dengan Mr David membantu aku untuk bangun. Aku tersengih malu apabila Mr David, Miss Joanne dan rakan-rakan lain tergelak besar dengan kelakuanku yang janggal itu.


Replika huruf “N” yang besar dan berwarna biru menyapa sepi kedatangan kami di pintu gerbang masuk ke Michigan Northwood University. Kebanyakan pelajar disini masih belum pulang meneruskan pembelajaran di semester baru kerana cuti musim sejuk. Oleh itu, tidak ramai “mat salleh” dan “minah salleh” yang dapat dijumpai. Tidak pernah terduga dalam hidupku ini, insan kerdil seperti aku akan menjejakkan kaki ke bumi “Uncle Sam” yang asing segala-galanya.


Setiap dari kami diberi peluang untuk menelefon ahli keluarga di Malaysia memberitahu mereka bahawa kami telah selamat sampai. Usai urusan di pejabat pentadbiran, kami dibawa ke kediaman sementara di perkarangan universiti sebelum mendapat rumah sewa diluar. “Aaahhh…leganya….dapat juga berlunjur kaki ni…”


Bagaimana aku berada di sini hari ini? Segalanya keranamu adikku, Hasanah. Bagai sebuah wayang gambar yang sedang berputar memainkan cerita kehidupan yang tragis di dalam fikiranku. Tanpa kusedari, air jernih mula bertakung di kolam mataku dan mengalir lagi untuk kesekian kalinya. Aku sendiri tidak pasti berapa kali aku meratapi pemergian Hasanah walaupun aku sedar akan hakikat bahawa segala yang berlaku adalah takdir Ilahi. Hati ini tidak akan pernah melepaskan wajah adikku yang putih bersih pada hari aku mengelus lembut wajah itu buat kali terakhir. Ciuman akhir itu masih berbekas di dalam ingatanku hingga ia menjadi satu bentuk hukuman terhadap apa yang telah berlaku. Takkan ku lupakan bagaimana suara halus dan manja adikku menyanyikan lagu “Warisan” yang dinyanyikan oleh ikon muzik popular di era 80-an iaitu Seniman Allahyarham Sudirman Hj Arshad.


“Abang, kenapa Mak Long Leha dan Mak Su Mona selalu pandang rendah dengan keluarga kita? Kalau hari raya pun, anak-anak Mak Long Leha dan Mak Su Mona selalu dapat duit raya lebih dari atuk dan nenek. Dah lah asyik kita yang kena basuh pinggan mangkuk di rumah mereka. Orang lain beraya dapat seronok, kita beraya dapat kerja lebih masa.” Aku hanya mampu tersenyum mendengar omelan adik bongsuku itu.


Aku akui keluarga kami agak miskin berbanding keluarga saudara-mara yang lain sehinggakan kami sering dipinggirkan dalam mana-mana perkumpulan saudara-mara. Biasanya apabila sepupu-sepupu yang lain sedang rancak berborak sesama mereka, kami terasing ke dapur untuk membasuh pinggan mangkuk atau menyusun hidangan. Kadang-kadang aku berasa seperti keluarga kami adalah yang tergolong dalam mereka yang dipanggil anti-sosial.


Hasanah sering menjadi bahan ejekan mereka kerana adikku itu seorang anak istimewa – anak albino. Albino merupakan sejenis kumpulan gangguan yang diwarisi di mana terdapat sedikit atau tidak ada pengeluaran melanin pigmen. Jenis dan jumlah melanin yang dihasilkan oleh badan menentukan warna kulit, rambut dan mata. Melanin juga berperanan dalam pengembangan saraf optik, sehingga penderita albinisme mengalami masalah penglihatan. Orang yang menderita albinisme juga peka terhadap kesan cahaya matahari, jadi mereka berisiko tinggi terkena barah kulit. Kerana Hasanah istimewa, aku sentiasa rapat dengannya, sentiasa ingin melindungi adik manjaku itu.


Selesai mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, aku tidak mendapat mana-mana tawaran dari institusi pengajian disebabkan keputusanku yang tidak memberangsangkan. Sekadar cukup makan untuk lulus sahaja. Hal ini menyebabkan kedua ibu dan ayahku semakin di pandang rendah kerana bagi mereka selain memiliki anak yang cacat, ibu dan ayah juga mempunyai anak yang lembab dalam pembelajaran. Ibu dan ayah lebih banyak bersabar dan senyap apabila menerima cercaan mereka. Namun, aku tahu yang ibu akan menangis senyap-senyap di dalam bilik apabila ayah keluar memberi makan lembu-lembunya.


“Malu lah kita nak kawan dengan awak. Dah lah kulit awak tu pelik. Mak kata awak cacat, abang awak yang dua orang tu pun tak cerdik. Bengap! Semua ni sebab Mak Ngah kahwin dengan Pak Ngah. Keluarga Pak Ngah dulu ada membela hantu! Sebab itulah anak-anak Pak Ngah semuanya jadi macam tu” Sindiran tajam ditujukan secara kejam kepada Hasanah. Astaghfirullahaladzim! Ingin sahaja aku menampar mulut-mulut yang mengeji kami.


Tanggal 26 haribulan Julai 2013. Tarikh yang tak mungkin hilang daripada radar hidupku. Tarikh yang saban tahun menyebabkan manik mutiara gugur dari tebing mataku. Tarikh yang menyebabkan ibu menyepi di dalam bilik mencium baju Hasanah. Tarikh yang membuat ayahku tenggelam dalam dunianya seorang diri di tebing sungai di hujung kampung. Pagi itu kami berdua pergi ke tepi sungai untuk mandi. Memang kami kerap ke situ untuk mandi disebabkan air di bahagian tebing sebelah kampung kami lebih jernih dan masih ada bahagian yang cetek. Namun kawasan di sebelah batu di tepi pokok berangan agak dalam kerana tanah disitu telah dikorek bagi kerja mendalamkan sungai dan menaik taraf laluan yang sering ditenggelami banjir.


“Abang , boleh ambil SPM semula. Nanti sambung belajar kat negara orang putih. Abang jadi doktor. Nanti mereka semua tu takkan mengata ahli keluarga kita ada membela hantu lagi.”

“Shhh…cakap perlahan sikit dik…Biarlah mereka nak mengata apa pun. Yang penting kita tak macamtu kan. Allah sentiasa ada dengan kita.” Aku membalas permintaan Hasanah dengan nada perlahan. Aku tak ingin dua orang saudaraku yang juga berada di tepi sungai mendengar kata-kata adik.


“Abang ni penakut. Adik cakap benda yang betul. Adakah keluarga kita tak boleh ada seorang doktor.” Suara Hasanah menjadi semakin lantang. “Biar mereka semua buka mata. Adik tak cacat. Abang dan Abang Ajak tak bodoh. Abang Ajak dah ikut ayah jaga lembu, sebab tu adik suruh Abang Zaki yang jadi doktor.”


Aku pelik dengan perangai Hasanah. Biasanya apabila ditegur dia akan mengendur, namun hari ini kemarahan adik bongsuku itu seakan-akan sukar dibendung. Dia asyik mengulangi kata-kata yang sama. “Adik tak cacat. Abang Zaki dan Abang Ajak tak bodoh. Ayah tak ada membela hantu.”


“Hoi! Budak cacat ni ada kat sini juga. Padanlah aku tengok cuaca mendung nak hujan. Dasar bawa bala. Orang nak mandi, dia nak mandi. Ishh…tak senang hati betul. Ayah kau mana? Pergi bagi hantu dia makan?” Tempik Hussin, salah seorang dari saudara kami. Hasanah segera bangun dan menghampiri Hussin. Dia merenung Hussin dengan riak muka marah. Tiba-tiba Hasanah mengangkat tangannya yang kecil mulus itu lalu menampar muka Hussin. Aku terkejut kerana aku tidak pernah menjangkakan Hasanah akan bertindak sedemikian.

Hussin segera menendang Hasanah. Adikku jatuh terperosok ke tepi pohon kayu di tepi tebing sungai. Aku segera berlari mendapatkan Hasanah. Hadi yang melihat kejadian itu segera mengajak Hussin pergi. Mereka terkocoh-kocoh berlalu meninggalkan kawasan sungai tersebut.


“Tadi abang dah cakap…Jangan cakap kuat sangat..Ya Allah..” Aku segera mengangkat Hasanah dan membantu adikku berdiri. Aku membantu dia membersihkan daun-daun kering dan debu-debu tanah yang melekat di baju dan juga di anggota badannya.


“Abang Zaki, mesti mereka suka kalau adik mati kan? Senang sikit hidup mereka. Abang jadilah doktor. Doktor kan gaji besar. Dapat tolong orang. Nanti kalau Mak Long Leha dan Mak Su Mona sakit, abang boleh tolong. Orang kampung pun mesti cari abang. Masa tu adik akan cerita kepada semua orang yang abang ni tak seperti yang mereka katakan.”


Kami berjalan menyusuri kawasan kebun pokok getah untuk pulang ke rumah. Tiba-tiba langkah Hasanah terhenti. Tangan kecilnya meraba-raba rambutnya yang sedikit kusut.


“Abang Zaki balik dulu. Adik nak pergi ke tepi sungai sekejap. Sepit rambut adik tertinggal di batu tepi pokok”


“Hmm..baiklah. Abang nak kena balik bantu ibu masak lauk untuk makan tengah hari nanti. Nanti ayah dan abang Ajak balik nak makan. Ibu mesti penat buat kerja seorang di rumah.”

Hasanah tersenyum sambil memusingkan badannya lalu melangkah ke arah sungai semula. Aku terdengar dia menyanyi-nyanyi kecil lagu kegemarannya, “Warisan”.


“Ishh..patriotik betul adik aku seorang ni. Kenapalah dia suka sangat dengan lagu itu?” Sambil bermonolog sendiri aku meneruskan langkah ku ke rumah.


Menjelang tengah hari, kesemuanya sudah berkumpul di tengah rumah untuk makan tengah hari bersama, namun kelibat Hasanah belum kelihatan. Aku mulai berasa tidak sedap hati. Setiap masa aku akan terjenguk-jenguk ke arah muka pintu untuk melihat sama ada Hasanah sudah sampai atau tidak. Ibu dan ayah pun sama. Bukannya perkara asing bagi Hasanah bermain sendirian di luar sana, namun adalah pelik apabila salah seorang daripada ahli keluarga kami jika tiada pada waktu makan tengah hari kerana kami memang sentiasa makan bersama kecuali apabila telah diberitahu.


Ayah lantas bangun. “Hasanah di sungai kan?” Ayah menyoal. Aku mengangguk dan mata kami mengiringi langkah ayah turun dari rumah untuk ke sungai. Belum ayah menjejaki tangga terakhir rumah kami, sekumpulan orang kampung datang ke depan rumah.


Mata kami terpaku pada tangan Pak Cu Leman yang mendukung Hasanah. Mata Hasanah tertutup rapat, mulut Hasanah pucat kebiruan.


Aku tertuduk dan ibu meraung. Ayah dan adikku Razak segera memangku Hasanah ke riba mereka.


“Allah!…Allah!…Allah!” hanya kalimat itu yang kedengaran di mulut kedua-dua ayah dan ibuku. Seribu penyesalan menerpa ke benakku kerana membiarkan Hasanah seorang diri ke sungai.

Hasanah telah dibaringkan di tengah rumah dengan wajah sucinya menghadap kiblat. Kain batik menutupi badan kecuali muka. Jiran tetangga datang silih berganti. Ada yang kelihatan sedih, namun ada juga yang berbisik-bisik sesama sendiri. Entah apalah yang mereka bisikkan. Aku tidak ingin ambil tahu. Biarlah mereka begitu.


Mak Long Leha datang bersama Hussin dan Hadi. Hussin segera memegang kaki ayah sambil menangis-nangis ketakutan memohon keampunan. Dia mengatakan bahawa dia bersalah kerana menolak Hasanah ke dalam sungai. Dia ingatkan Hasanah pandai berenang dan berpura-pura lemas. Mereka berdua telah meninggalkan Hasanah. Berulang kali Hussin menyatakan bahawa dia tidak tahu kenapa dia bertindak sedemikian. Dia hanya marah kerana Hasanah telah menamparnya sebelum itu.


Kepalaku seumpama ditindih oleh batu yang sangat besar. Sampai hati mereka! Hasanah telah selamat disemadikan. Perginya sekuntum bunga kecil dari hidup kami. Ibu dan ayah menyerahkan kejadian ini kepada pihak polis menjalankan kerja mereka menegakkan undang-undang.


“Abang dah sampai di sini, adik. Abang sudah memenuhi kehendakmu.” Aku menarik nafas sedalam-dalamnya dan kemudian menghembus perlahan-lahan. Hari-hari ke depan aku perlu berjuang untuk meraih kejayaan. Aku sedar untuk menjadi seorang doktor bukanlah mudah. Namun, Hasanah telah mengajar aku bahawa sekiranya kita inginkan sesuatu, dengan usaha dan doa, ia tidak mustahil.


Aku mengambil peperiksaan ulangan SPM dan mendapat keputusan yang sangat cemerlang. Aku berjaya mendapat tajaan daripada pihak MARA untuk menyambung pelajaran ke sini hari ini dalam bidang kedoktoran.


Di sini lahirnya sebuah cinta.

Yang murni, abadi, sejati.

Disini tersemai cita-cita.

Bercambah menjadi warisan.


Andai ku terbuang tak diterima.

Andai aku disingkirkan.

Ke mana harus ku bawakan.

Ke mana harus ku semaikan cinta ini.


Betapa, di bumi ini ku melangkah.

Ke utara, selatan, timur dan barat ku jejaki.

Aku bukanlah seorang perwira.

Gagah menjunjung senjata.


Namun hati rela berjuang.

Walau dengan cara sendiri.

Demi cinta ini.


Ku ingin kotakan seribu janji.

Sepanjang kedewasaan ini.

Ku ingin sampaikan pesanan.

Akulah penyambung warisan.


Saban hari, bait-bait lagu kegemaran Hasanah iaitu “Warisan” seakan telah menjadi halwa telingaku. Menjadi peneman di kala aku hampir tersungkur dalam putaran roda kehidupan ku di sini. Berada di bumi asing menjadikan aku lebih menghargai Malaysia. Dari rindu yang sarat ini, berada di bumi asing menjadikan aku lebih menghargai kedua orang tua dan adikku. Hari ini aku mulai mengerti mengapa Hasanah amat meminati lagu ini – perjuangan dalam hidup tidak pernah selesai. Satu langkah ke hadapan walaupun amat kecil akan membawa kita maju selangkah ke hadapan. Terima kasih, adikku.


Memori itu masih segar walaupun telah enam tahun aku disini. Kini, tinggal lapan bulan berbaki lagi untuk ku selesaikan latihan kedoktoran di MidMichigan Medical Center – Midland. Demi cinta ini, aku akan pulang ke Malaysia untuk berbakti kepada nusa dan bangsaku. Demi cinta ini, maruah keluarga akan aku angkat ke tempat selayaknya. Demi cinta ini, wahai ibu dan ayah, bersabarlah menunggu anakanda mu pulang dari perjuangan yang panjang. Demi cinta ini, tenanglah dikau di sana adikku sayang. Demi cinta ini!

44 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page