EMPOWER Malaysia organised a writing competition for aspiring writers with the theme “YOUth of Tomorrow”. This is one of the top entries in the short story category, written by Emelia Noor.
“Berhentikan dia? Kenapa kita harus berbuat begitu sedangkan kita boleh saja batalkan pesanan pembelian yang salah itu dan gantikan saja dengan revised copy? Masih ada masa”, Bai mengambil posisi untuk memberi cadangan lain kepada bos merangkap pemilik penuh syarikat kontraktor kejuruteraan mekanikal dan elektrikal kecil tempatnya bekerja itu sewaktu sesi perbincangan projek memasang sistem solar di sebuah agensi bukan kerajaan yang dia diberi tanggungjawab menjadi pengurus projeknya.
“Bagi saya isu ini hanya kesilapan kecil saja. Lagipun silap bahagian projek juga tidak periksa betul-betul semasa dia isikan kuantiti motor yang harus kita beli itu”, Bai mengaku jujur.
Bukankah kita berkerja dalam ruang yang lebih profesional sekarang? Sentiasa mencari solusi bersama dan bukan hanya mencari silap. Bosnya pula hanya lima tahun lebih tua darinya. Mereka kurang lebih datang dari generasi yang sama, lebih terbuka fikirnya. Jadi Bai percaya, idea yang diutarakannya itu dapat diterima dengan mudah oleh bosnya.
Bai silap. Si bos tidak setuju dengan cadangannya. Dia tetap berkeras untuk memberhentikan pekerja yang telah hampir tiga tahun bekerja dengan syarikat itu. Kata bos, mereka ini (baca: pekerja migran atau yang tidak berkemahiran) tidak boleh diberi muka. “Esok lusa kalau mereka buat kesilapan yang sama, akan beri entah masalah apa pula lagi kepada kita”. Bai berat hati. Dia ingat lagi tahun lepas selepas melapor diri di syarikat itu sebagai staf baru apabila pertama kali dikenalkan dengan Bilu, pekerja am asal Bangladesh itu. Di syarikat itu, tugasnya bukan kecil-kecil. Dia diminta untuk mengisi borang pembelian barang dengan mengisi kolum deskripsi teknikal serta kuantiti, satu tugas yang biasanya memerlukan seseorang yang mempunyai latar belakang pendidikan teknikal. Bilu tidak ada itu semua. Gaji Bilu? Sudah pastilah tidak setanding dengan skop kerjanya. Bai kagum dengan Bilu. Paling Bai terpana melihat kemahiran Bilu memahami percakapan bahasa melayunya yang sudah pastilah laju dengan penggunaan tatabahasa yang mungkin biasa kepada penuturnya tetapi tidak kepada orang seperti Bilu, yang baru masuk tahun kedua bekerja di Malaysia. “Mula-mula datang hari-hari nangis”, ujar Bilu. “Tak tau cakap Malaysia, banyak susah. Lepas lima bulan, sudah boleh sikit-sikit. Senang mau kerja”, dia bercerita lagi. Bilu bercita-cita untuk membuka kedai barangan elektonik kecil-kecilan di kampung tempat asal bila cukup tabungannya nanti. Dia tidak berhajat menetap lama disini. “Sini orang tada suka sama kita, mau kita balik. Kita kena balik la”, kata Bilu perlahan.
Itu cerita lima bulan lepas. Hari ini Bai seorang penganggur. Dia diberhentikan dengan notis satu bulan oleh bosnya dengan alasan tidak munasabah di alaf dua puluh satu ini, syarikat memerlukan seorang pengurus projek yang lebih lasak fizikalnya (baca: lelaki) sedangkan projek itu berjalan baik dibawah pengurusannya ketika itu. Dia menebak, hakikat sebenarnya si bos tercabar dengan cadangannya yang berkeras mencadangkan Bilu tidak perlu diberhentikan. Pekerja yang tidak mengikut apa saja arahan ketua, yang betul mahupun yang salah tidak harus terus berkerja lagi. Apatah lagi yang menyoal atau mengkritik keputusan si ketua. Ini yang sebenarnya. Bilu juga diberhentikan. Terakhir Bai mendapat khabar dari Bilu, dia sudah pun mendapat kerja baru. Gajinya lebih rendah namun Bilu gembira, “saya ada kerja”. Bilu mendoakan Bai juga akan dimurahkan rezeki sepertinya.
Lalu kepada teman-teman yang bertanya tentang rancangannya ke depan, Bai hanya menjawab, “I guess I’ll be in between jobs for now”. Maklum saja di Malaysia hari ini, sesiapa saja yang tidak bekerja atau memilih untuk tidak bekerja, mungkin kerana tidak tahan dengan pengalaman pernah didiskriminasi ditempat kerja, atau kerana bayaran gaji yang tidak setimpal dengan tugas yang diberikan, atau mungkin saja kerana tidak larat melihat bos-bos yang berkereta dan berhobi mewah, berfamili ala elitis dan berumah besar keluar masuk pejabat dan mengherdik tidak tentu hala, atau apa saja sebab dan alasan adalah sesuatu yang amat tabu. “Orang muda zaman sekarang manja sangat, tak macam kita dulu-dulu rajin kerja tak tahu mengeluh merungut”, seorang pakcik lewat 50-an pernah mengomel kepadanya.
Bai juga lebih selesa menggunakan bahasa inggeris itu, in between jobs. “Konotasinya tidak terlalu negatif bunyinya kepada si pendengar berbanding jika kau beritahu ‘sedang menganggur’“, seorang kawan ikhlas menasihat. Betul atau tidak, dia tidak pasti sebab Bai bukan ahli dalam bahasa atau pun seorang linguis. Namun, dia amat percaya dengan nasihat itu. Sewaktu dia baru memulakan pengajian peringkat sarjana muda, teman-teman di universiti yang mendapat gred lebih rendah dalam subjek Bahasa Melayu berbanding Bahasa Inggeris dalam SPM selalu berbangga dengan keputusan mereka itu. “I memang tak terer Bahasa Melayu”, dia masih teringat kata-kata seorang teman baru waktu itu.
Selepas hampir setahun kejadian pemberhentiannya Bai mendapat tawaran kerja di sebuah kilang bersaiz kecil-sederhana di pinggir kota, juga sebagai pengurus. Kilang itu memproduksi peralatan sistem solar dan mempunyai hampir empat puluh ke enam puluh orang pekerja, majoritinya pekerja migran. Seawal minggu pertama Bai berkenalan dengan staf di bahagian sumber manusia, seorang gadis baru tamat universiti dan sedang mencari peluang menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Si gadis ini banyak menerangkan berkenaan kontrak kerja Bai dan operasi kilang tersebut dan segala macam hal-hal baik, namun lebih banyak buruknya tentang kilang itu. Bai selalu juga mendengar kisah-kisah ini. Selalunya dari media sosial saja dan ciapan-ciapan di Twitter. Dari hal sakit perit pekerja terutama pekerja migran yang tidak terjaga;
“Di sini tidak ada klinik panel untuk pekerja, jadi kalau jatuh sakit biasanya kita ke klinik untuk pemeriksaan, buat bayaran seperti biasa dan kemudian baru kita claim dengan syarikat”
“Sama juga ke dengan pekerja migran ni?”
“Ya, prosedurnya sama saja. Tapi kami jarang terima claim dari mereka. Entahlah mungkin sebab kos konsultasi dan ubat-ubatan yang sekali ke klinik kan boleh mencecah lima puluh ke enam puluh ringgit, jadi mereka enggan ke klinik kerana itu. Bagi kita mungkin sedikit saja, tapi bagi mereka kos ini amat tinggi, iyalah gaji mereka pun berapa sangat”, si gadis memberi penjelasan.
“Jadi bagaimana mereka dapatkan rawatan dan ubat-ubatan kalau sakit?”
“Entahlah saya pun tak tahu..”, si gadis berentah saja.
Tentang keadaan tempat tinggal mereka;
“Mereka tinggal dimana ya? Pihak syarikat sediakan tempat tinggalkan untuk mereka?”
“Ya, kami sediakan. Itu di belakang sana di bahagian hujung kilang ini”
Petang selepas waktu kerja hari Jumaat minggu pertama, Bai ambil peluang berjalan melihat-lihat seluruh kawasan kilang. Dia terkejut melihat tempat tinggal pekerja yang diberitahu si gadis. Ia hanyalah kontena-kontena yang disusun rapat di antara satu dengan yang lain, yang di sekitarnya berlambak bekas-bekas makanan yang bertakung air, pakaian-pakaian lusuh bersidaian dan lopak-lopak air di sana-sini, dan entah apa-apa lagi yang tidak sanggup Bai lihat. Sungguh memualkan. Pendek kata, ini bukan tempat tinggal melainkan tempat pembuangan sampah.
Minggu depannya Bai berjumpa lagi dengan si gadis dan mereka bercadang makan tengahari bersama. Sewaktu sedang makan, Bai cuba memberikan pandangan tentang apa yang dilihatnya Jumaat lepas dan bagaimana terganggunya dia selepas itu.
“Sebagai staf HR, mungkin awak boleh beri cadangan pembaharuan. Mulakan dengan cadangkan kepada syarikat untuk melantik klinik-klinik panel bagi semua staf dapatkan rawatan. Bila pekerja senang dapat rawatan, sudah tentulah produktiviti kerja mereka meningkat. Ini juga akan untungkan syarikat kan?”, Bai mencadangkan bersungguh-sungguh. Bai terlupa langsung bagaimana dia diberhentikan dari syarikat lamanya tidak lama dulu. Dia begitu positif ini harus dilakukan segera dan akan dipertimbangkan oleh pihak syarikat. Bai yakin, mana-mana syarikat pun kalau diterangkan dengan betul tentang keuntungan yang akan mereka perolehi pasti akan menerima ideanya itu. Syarikat mana yang tidak mahu untung?
“Hmm.. saya tak mahulah, lagi pun saya nak berhenti dari syarikat ni tak lama lagi”, si gadis berwajah sugul.
“Eh, kenapa pula nak berhenti, awak masih lagi menunggu untuk mohon pengajian master kan?” Bai bertanya.
“Saya tak tahan kerja di sinilah. Bos kita tu suka meraba-raba saya. Dia selalu panggil saya ke bilik pejabatnya dan minta saya datang berdiri di sebelahnya sewaktu dia nak menerangkan hal-hal kerja saya. Alasan bodohnya sebab saya masih baru dalam perkerjaan jadi dia perlu terangkan dengan lebih jelas kepada saya. Tapi dalam dia terangkan itu dan ini dia ambil kesempatan terhadap saya”, si gadis meluahkan segalanya tanpa selindung dengan nada suara yang turun naik. Di wajahnya Bai dapat melihat ada rasa jijik dan takut. Dia sedikit pucat.
Dan si gadis menyambung lagi;
“Tolong jangan ceritakan kepada sesiapa ya, kalau ada sesiapa yang tahu malu besar saya”, si gadis merayu.
Hari itu mereka pulang ke pejabat selesai makan tengahari. Di dalam kereta mereka tidak bercakap, tidak seperti selalu. Masing-masing diam dan melayan fikiran sendiri-sendiri. Bai bingung, setelah apa yang dilaluinya di tempat kerja lama, dia berdepan lagi dengan realiti pahit yang terpaksa ditempuhi oleh teman sekerjanya, yang lokal mahupun migran.
Malam itu Bai bermimpi. Di dalam mimpi itu ada Bilu, kontena dan si gadis.
Author's note: This short story was inspired by the lecture by Dr Azhar Ibrahim, organized by GERAK Malaysia on Frantz Fanon on 14 August 2021. Thank you Gerak Malaysia
コメント