EMPOWER Malaysia organised a writing competition for aspiring writers with the theme “YOUth of Tomorrow”. This is one of the top entries in the short story category, written by Shafiqah Alliah Razman.
Malam menjengah kembali tatkala Sang Mentari memberi salam perpisahan. Aku, pena dan kertas usangku masih mencari sinar dalam kegelapan. Aku masih menjadi hamba buah fikiran malamku dan ia meminta aku untuk mengukirkannya pada jutaan bintang di langit. Bisiknya padaku, bintang-bintang itu sinarnyakan terang, nanti pasti ada yang mendengar. Jauh terbenam di sudut hati— perasaan yang mengulit ini meronta-ronta dengan jari-jemari halusnya, terus menggamit jiwa ini untuk bermadah tatkala dunia, si dia dan juga mereka, enak dan lena dibuai mimpi. Tulisan berangkai dan dakwat hitam ini menjadi taruhanku. Niat di hati ingin menjadikan lembaran ini medan perjuangan. Sudikah mereka mendengar suara anak muda ini, yang jalannya masih berliku, fikirannya masih bercelaru, dan kata-katanya masih terbelenggu. Bukan mahu terburu-buru, tetapi mahu mengenal erti dewasa dan memburu impian yang satu—ingin melihat ukiran senyuman setiap mereka apabila beradu, kerana keadilan itu.
Kau memperlakukan anakku. Kau hina kakakku. Kau hancurkan masa silam ibuku. Ayahku, abangku dan saudaraku—kau biarkan mereka mengemis di tepi jalan sehingga mereka diam membisu. Apabila dia datang menangis teresak-esak meminta bantuan dan pembelaanmu, kau lontarkan hujah-hujah bongkakmu—‘Mengapa kau di situ seorang diri?’, ‘Tidakkah kau punya harga diri, mengapa berpakaian begitu?’, ‘Bukankah aku sudah pesan padamu!’, ‘Eh, dia itu orangnya baik. Masakan dia lakukan begitu. Pasti engkau yang menduga kalbunya.’ Tidak cukup dengan itu, kau lontarkan pula kata-kata keji dan kotormu padanya. Contengan dan noda-noda hitammu itu akan sentiasa menghantui malamnya. Apa malammu sungguh tenang sehingga kau lena diulit sengsara kami. Tubuhku dan lenggokku menjadi sehalus-halus perhatian kerakusan nafsumu, santapan pandangan dan teguran nakalmu. Kelembutan suaraku dan perhambaanku padamu diinginkanmu selalu. Aku sudah letih memeluk takdir yang kau nodai ini. Kadang-kadang aku merasakan diri ini seperti nota-nota muzik yang iramanya sudah lama tidak bernada dan harmoni —lesu lagi longlai dendangannya. Satu demi satu harapanku dikecewakan, hampa dan tiada nyawanya. Iktikadku tergugat dalam tangan-tangan kejam engkau dan mereka. Tenggelam dalam alunan bicara-bicaramu yang dikatakan ‘suci’. Ada waktu aku rindukan tiupan bayu asing kerana tanah ini—isinya—menafikan terlalu banyak bahagian dan cebisan diriku. Corengan-corengan arang pada kanvas putihku—melemaskan dan mengasingkan—yang padanya aku sebenarnya dambakan panggilan pemandangan sejernih lautan biru yang menenangkan.
Sudah terlalu lama aku memekakkan telinga dan membutakan mata, kerana didendangkan dengan kata-kata bahawa aku ini masih muda. Perasaan dan pendapatku hina di matamu. Jadi, aku sering kali dipaksa hidup berlandaskan kitab yang dikarang olehmu, bukan Tuhanku dan Nabiku. Bertopengkan gelaran khalifah itu, kau dan taulanmu sering kali ingin menulis tentang aku (dan kami), ceritaku—dengan narratif berdarahmu sendiri. Kau ingin dunia melihat aku melalui lensa dan pemikiranmu yang jumud. Kau kunci mulutku dan menafikan tempatku di medan bicara itu. Kau lukiskan tanda-tanda biru dan ungu pada tubuhku. Jeritan deritaku terus kau idamkan. Ingin aku membisu dan terus sunyi dari dunia yang ingin sekali mendengarku. Dunia yang sebenarnya memerlukan aku, sama seperti mereka perlukan engkau. Apakah kau dapat bermegah-megah akan kewujudanmu dan kepentinganmu melalui tangan dan kaki itu? Itukah mahkotamu yang akan kau persembahkan padaNya nanti? Sudah-sudahlah—kau dan tarian riakmu —walhal asalmu hanya setitis air. Aku bukan abdi keegoaanmu sementara kau menabur lagi janji kepada saudaraku. Tatkala kejahilan membaluti tubuh dan fikiranmu dan kau terus mendabik dada dan mendongak ke muka langit, aku dan saudara-saudaraku menyimpul ikatan untuk menongkah takdir.
Aku melihat kakak-kakakku dari jendela kecil ini. Aku terintai-intai seperti anak kecil—aku lihat semangat juang dilaungkan, poster dan kain rentang dinaikkan, tangan dihulurkan lalu dipegang erat dan mereka mengatur langkah berani seiring lagu dan irama. Perut bumi dan tanah luhur ini seakannya bergetar dengan setiap aturannya. Kau—aku pasti gerun walaupun masih tersenyum sinis dan masih lagi mengukir cita-cita untuk memuaskan halobamu yang tiada hujungnya. Aku belajar perkataan baharu dan catatkan kata nama itu dalam kamus batinku—solidariti.
Aku kagum, tetapi buat aku termenung seketika—Bisakah aku jadi seperti kakakku itu? Layakkah aku menyandang gelaran srikandi? Apa yang aku ada? Hanya suara kecil dan beberapa untai kata-kata. Puisi dan cerpenku juga masih haru. Jikalau aku komposer lagu, muzik dan iramaku pastinya terisi dengan sesalan dan ratapan, yang mekar seperti bunga-bunga di padang hijau yang luas itu. Aku akan dikenali dunia sebagai penyanyi sesalan. Tetapi demi semangat itu, aku cuba mencari sedikit kekuatan dan segenggam semangat. Aku ingin bertatih membantu aku, kami dan kita. Aku ingin menjaga saudaraku dengan kudrat zahir dan batin ini. Walaupun fana, aku ingin terus mencuba. Aku ingin berpisah dengan erti jemu. Tanganku ini bukan hanya bisa menghayun buaian itu, tetapi kurniaanNya ini akan aku pertaruhkan untuk menggoncang duniamu yang gelap.
Apatah lagi aku selalu diajar tentang kasih dan cinta oleh mama dan ustadhah. Aku ingin menjadi suara buat mereka—saudaraku, anak-anak muda dan kecil itu. Aku dambakan darussalam buat kita. Ini cara aku mencurahkan bakti dan melukiskan potret kasih. Lembaran-lembaran yang penuh dengan seru-seruku menjadi medan pertempuran pena dan kata.
Aku ingin memimpin tangan mereka. Aku ingin selami jiwa luhur mereka, dan ingin mendaki bersama gunung harapan. Jerih perih dan penat lelah—aku menadah cerita-cerita derita dalam urat biruku untuk aku curahkan kemudian hari dalam puisi dan pada muka buku. Tiada siapa perlu diusir dan dihukum bila berbicara tentang kebenaran. Berpautkan empati, aku gapai tangan mereka menangkis seribu tomahan. Aku ada untuk membela nasibmu. Ingin luka mereka sembuh dan mereka bebas dari penjara kekesalan. Parut dan noda dosa-dosa semalam tidak mungkin hilang tetapi aku tidak mahu melihat mereka berkalungkan rantai belenggu dan berselimutkan tangisan sunyi.
Sekarang, tiada lagi istilah meminta atau menagih darimu. Aku dan kakak-kakakku, kami sendiri akan mencipta riwayat kami. Biar jarak antara impian dan kenyataan bukan sedetik jauhnya, biar seribu tahun lamanya kami terpaksa dahaga dan meredah gurun gersang ini. Bertemankan nafas kekuatan baru, akan kami ubah sejarah. Ideologi perjuangan masih belum tandus. Mendaki bersama. Berpaut, satu tangan dengan satu tangan yang lain—bergenggaman erat, isi dan kuku berpisah tiada.
Ibu-ibu kami, mereka berkata padaku “Tidak perlulah kau bersusah-payah. Ini bukan perjuanganmu. Masa depanmu lebih berharga.” Mereka sudah lama bermandikan hampa hingga merasakan tiada makna mencoret kisah-kisah hitam itu. Ada juga yang tidak dapat diungkap dengan bahasa dan tidak terucap zahirnya kerana terlalu perit. Hatinya bengkak menahan pedih. Usah bimbang ibu. Kami bijak menjaga diri. Biarpun disondol, kami tangkas bangkit. Tanah ini juga masa depan kami. Ke mana lagi kami ingin lari. Bukankah kau juga berkata hujan batu di negeri sendiri itu lebih baik. Malah kami dambakan hujan emas di bumi ini. Akan kami pikul amanah dan tanggungjawab ini —melakar keharmonian dan menempa keadilan di tanah sendiri. Wahai ibu, janganlah kau berputus asa atau berduka lara. Bersuaralah dan dendangkan ceritamu pada dunia. Kami di sini menyokong dan mendoakan setiap langkahmu.
Sepurnama kemudian, duniamu gamat melihat aku menutup perhiasanku, sedangkan bukan tujuan aku di sini untuk merealisasikan fantasimu. Aku memilih jalan ini kerana cintaku pada Yang Satu, tiada lagi yang lain. Walaupun sukar, dengan semangat yang menggarang, aku mencengkam erat pada ketulusan ini. Aku bukan hidup untuk memenuhi hawa tamak dan kejimu yang tidak pernah kenyang, Malah lilitan selendang ini juga bukan alasanmu untuk mengeji kakak dan adikku. Jangan kau mengotori kami dengan tempias mimpi-mimpi jijikmu. Kata-kata kami ini bukan untuk kau ratah sebagai seteru, tubuh-tubuh ini bukan sewenang-wenangnya untuk engkau jadikan tempat persinggahanmu dan jiwa-jiwa kami bukan untuk engkau tawani lalu engkau sesakkan. Halwa telinga kami bukan untuk menyimpan janji atau helah manismu yang tumbuh melata. Amanah saudara-suadara aku dan kami memanggil, dan roh-roh ini untuk mereka.
Inspirasi? Dia masih di situ. Berhati murni; membantu mereka mencari sesuap nasi. Meninggalkan kamar dinginnya, dia masih setia meredah terik mentari dan bermandi manik-manik keringat, memberi dan terus memberi tanpa jemu. Langsung tidak lokek dan kekok berkongsi rezekinya. Sering juga merakamkan harapan buat kami dan masih mengirim semangat dan menitipkan bicara hikmatnya. Aku pernah dengar dia berkata-kata bahawa dia ingin anak-anak muda berani melakar sejarah sendiri dan menangkis lagi menepis segala rintangan dan cemuhan. Tinggi sungguh cita-citanya. Katanya lagi, aku dan mereka ialah pemimpin dan harapan itu sendiri—yang menghiasi cerita-cerita hebat dan inspirasi hari esok. Tidak seperti kau dan mereka yang mengurung aku dan kami, dia meminta aku melebarkan sayapku. Tiada sempadan bagi cerita dan kejayaan kami; asalkan kami terus gigih membanting tulang muda ini. Pesannya, tubuh dan semangat ini jangan dibiar lesu. Usia muda jangan disia bahangnya.
Aku kagum akan dirinya. Ada waktu terasa juga hairan, lahiriahnya ikhlas. Mahu menggelarnya seorang teman, mungkin juga sahabat—menjadi tempat bimbingan dan berkongsi pandangan. Tetapi aku lupa. Mungkin dia juga lupa. Dunia penuh pancaroba kami yang asing dan sepi darinya—sejauh manakah dia mengerti? Harapan menggunung tinggi tetapi hati kecilku berkata-kata, ‘Apakah tulus harapan dan janjimu itu? Hiraukah engkau? Sekutu atau seteru? Adakah batinmu seindah zahirmu—benar kau menyayangi kami?’ Ayah ada berpesan, realiti itu tidak seharum fantasi. Atau aku akan terus membiarkan diri terbuai dengan semangatmu itu, yang mungkin hanya manis di bibirmu dan indah halwa telingaku. Mungkin aku khilaf. Pengalaman mendidik aku menjadi sangsi. Mungkin kau memang berbeza daripada mereka—'dalam setandan pisang takkan semuanya busuk’. Mungkin satu hari nanti aku bisa beritahu itu pada dunia dan mensyairkan budi-budimu. Biarlah aku pergi dahulu menabur bakti. Kebaikanmu dan nukilanmu, kami jadikan sakti. Tempiasnya sudah cukup mendamaikan.
Aku manusia hina dan kerdil. Kadangkala tidak sunyi daripada meratah emosi sendiri. Rasa lemah dan ingin berputus-asa sering kali menjengah ke benak kalbu. Sama seperti aku, emosi-emosi itu menjadi tetamu yang tidak kenal juga erti jemu. Kering dan kontang jiwa ini apabila keringat dan ilham diperah sehabis-habisnya. Longlai, aku masih mencari sisa-sisa janji dan perjuangan yang masih belum terlihat garisan penamatnya. Poskad dan lembaran tinta di persisir medan yang masih belum terjawab luahannya serta pesanan dan rayuan di corong radio tuaku.
Tetapi demi sebuah janji dan seunkap cinta buat mereka, aku gagahkan diri mencari cebisan dan carik-carik kekuatan—dalam setiap bait-bait cinta dariNya, dan dari setiap butir kata-kata pedoman para saudara. Suara itu milik aku dan kami. Tulang, bicara dan darah mudaku ini adalah seni perjuangan dan harapan. Jiwa ini bukan milik aku seorang. Jiwa ini milik setiap daripada kami yang engkau tindas. Fitrah kemanusiaanmu tidak berperi. Kau palitkan warna-warna perbezaan, kebencian, keretakan dan diskriminasi. Mana mungkin aku terus menurut godaan lelahku dan berdiam diri. Aku tidak akan pernah tertunduk bungkam. Jikalau hilang suara dan kata-kata, hatiku ini pula akan terus hidup untuk meronta.
Ya, aku masih muda. Barangkali apa yang mereka gelar setahun jagung. Dimomokkan dengan kisah yang kusam—kesangsian dan keraguan pada kebolehanku dan keteguhan perisaiku. Rambutku kusut, masih disisir rapi oleh ibu. Tarian citaku pula masih bengkang. Tetapi tali kasutku—tali kasutku hitam dimamah usia dan debu-debu cabaran. Aku seakan-akan sudah tua sebelum masanya. Langkah dan jejak ini mematangkan aku.
Hargaku bukan pada fizikalku tetapi pada jiwa yang membara ingin bangkit bersama anak muda, ingin mengibarkan panji kemenangan dan keadilan sejati. Hargaku pada cintaku pada tanah airku yang semakin dimamah kerakusan duniawi, di mana harta, nafsu dan haloba bertaktha di sanubari. Semangat itu ada mengalir —jangan kau persoalkan mengapa. Kau lebih tahu jawapan teka-tekimu itu. Mana mungkin aku berdiam seribu bahasa apabila melihat anak kecil dan ibunya itu kau biarkan merempat di bahu jalan yang hanya sebatu jauhnya dari bangunan megahanmu. Mana mungkin aku membisu tatkala adikku ditarik dan dibentak hanya kerana ingin mengingati mereka yang telah berjuang demi sebuah erti kehidupan bernama keamanan. Mana mungkin, apabila aku melihat sang bapa tersedu-sedu dibasahi hujan—memikirkan di mana tempat lena si keluarga tercinta esok harinya, sementara kau berpayungkan permata dan bertilam empukkan tembaga.
Perlukah lagi aku menyenaraikan semua aib-aibmu? Tuhanku tidak mengajar aku begitu. Bukan niat di hati mahukan simpati atau mempersoalkan rezeki: cuma mahu membela nasib sendiri. Aku juga terkenangkan anak-anak didikku. Jiwa guruku kuat ingin melindungi mereka. Kalbu ingin melihat mereka bertatih di bumi yang memeluk kembali kehadiran mereka—bumi bertuah yang menyambut mereka dengan seikhlas salam selamat datang. Biar mereka tenang dan bahagia di sini. Bila warna bukan lagi menjadi pintalan perbalahan. Beribu dan berjuta kata madah dan coretan puitis, mungkin terus mengalir tanpa henti, daripada aku dan engkau, tetapi kebenaran hanya satu—keadilan buat kami.
Aku teringat pesanmu lagi—berlegar selalu di ruangan pancainderaku, bak kata-kata pujangga. Kau kata aku perlu berani dan suaraku didambai. Aku sebenarnya tidak pernah gentar, wahai inspirasi. Mereka yang menenggelamkan aku dengan bingitnya hiruk-pikuk tikam lidah mereka, seolah seperti aku bisu. Tidakkah engkau melihat apa mereka buat pada saudaraku —sesaat teman dan juga handalanku memekikkan syair and isi hati mereka. mereka diherdik lagi dicaci dengan tutur kesat dan bicara durjana. Tetapi janganlah bimbang. Itu tidak mematahkan semangat kami. Lihatlah dengan ainmu sendiri—saban hari, kami masih di jalanan menuntut kebenaran dan pembelaan, melontar suara tegas bersama perang poster dan seni grafik kami dan kami berpuisi tentang perlakuan hina mereka. Mata penaku juga masih tajam dan dakwatku juga masih mengalir laju—selaut tinta. Ada selautan kisah ingin aku kongsi dengan dunia. Masih banyak sajak derita ingin aku deklamasikan dan masih beribu kekecewaan belum dinyanyikan.
Kami manusia—punya perasaan—marah, sedih, kecewa; kami hidup dalam pengharapan. Deria rasa kami masih tajam—maung, kelat, hambar, dan lebih pahit daripada manisnya. Sering kali disalah erti, malah dituduh penderhaka kerana menegakkan keadilan dan hak sendiri. Di mana lagi kami perlu menagih nasib dan menanam jejak diri, kalau bukan di bumi sendiri. Bagaikan pendatang di bumi yang mengasingkan.
Mengapa? Tiada lagikah keikhlasan dan kebaikan? Ibarat meminta segunung intan yang sebenarnya hanya membutakan mata dan hati. Aku tiada harta dan tiada rupa, Hanya suara ini bekalan kudrat perjuanganku. Semangat untuk meneruskan hidup ada bersama janji dan pegangan tangan-tangan mulia itu. Cuma inginkan nasib terbela dan ingin mencari sekelumit makna kehidupan, kenangan dan bekalan untuk dibawa ke hari depan. Nanti Sang Dia bertanya, bukan cerita-cerita duka ini yang ingin aku karangkan. Aku hanya ingin mengkhabarkan yang indah pada langit. Sebuah pengharapan. Sebuah penyatuan, Sebuah azimat cinta.
Bendera ini akan kami kibarkan. Semangat dan seru keramat ini akan kami laungkan.
Kami ingin merdeka. Kami ingin bebas. Ini kisah kami. Oh dunia, dengarkanlah suara kami.
Comments