Agama, Feminisme dan Cinta tidak dapat dipisahkan. Begitulah pandangan saya lewat pembacaan yang semakin hari semakin susut dikikis masa yang saling berkejaran.
Konsep Tauhid iaitu kepercayaan bahawa Tuhan itu satu, mematuhi segala suruhan dan larangannya sepenuh hati, dengan penuh cinta dan harapan tidak dapat dipisahkan dari Islam sebagai asas agama. Tauhid adalah akar mula mengakui keesaan Tuhan. Suruhan tentang kepercayaan dan kebergantungan hanya pada Tuhan yang satu ini, telah dipraktis sosok Nabi dalam kondisi sosial dan peringkat individual. Kerana kepercayaan pada ketauhidan juga Nabi menjadi satu sosok yang memimpin revolusi sosial di zamannya. Dalam menjalani kehidupan seharian, Nabi menjadi manusia yang cekal dan berani mempertahankan yang lemah, yang ditindas dan mereka yang ditindas melalui struktur berkuasa.
Sosok Nabi membuktikan kepercayaan kepada Tauhid membebaskan setiap manusia dari pelbagai penindasan. Penindasan boleh datang dalam pelbagai arah dan faktor di mana wujudnya ruang yang menyebabkan seseorang hilang autonomi dirinya sendiri atas kekuasaan dan kelebihan yang digunakan oleh orang lain. Faktor lain seperti norma, nilai, tradisi, agama dan gender juga membawa kepada penindasan atas manusia lain. Dalam situasi dan keadaan ditindas ketika itu, tauhid dan kepercayaan kepada ketuhanan yang satu menimbulkan cahaya pengharapan dan emansipasi kaum tertindas untuk bangkit melawan orang yang menindas atau ekonomi atau norma atau apa sahaja yang menyekat mereka berdiri dan tunduk sama adil dan saksama antara manusia lain.
Pembebasan manusia menuntut keadilan sosial merupakan antara nilai dalam Islam. Keadilan untuk mereka yang ditindas, agar setiap manusia yang percaya kepada ketuhanan yang satu itu, mestilah membangunkan jiwa untuk mempertahan keadilan, memelihara mereka yang tertindas dan melawan tirani kekuasaan dalam apa bentuk manifestasi sekalipun. Kecintaan pada keadilan menjadikan agama dirasai sebagai bentuk pengharapan kepada manusia. Komitmen keadilan yang dibawa risalah agama melahirkan sinar untuk mereka yang ditindas. Keadilan merubah hamba yang dinilai separuh manusia mendapat posisi sosial sama taraf dengan manusia sekelilingnya. Keadilan menjadikan mereka yang kaya boleh berbagi kekayaan dengan mereka yang miskin sama rata. Bahkan keadilan juga menjamin keselamatan keberagamaan pada mereka yang beragama mahupun tidak beragama.
Kaca Mata Feminisme
Dalam jalur penindasan, salah satu kelompok yang tertindas adalah golongan perempuan dan minoriti. Islam datang sebagai rahmah membunuh penindasan atas perempuan tidak kira dari segi politikal, nilai bahkan adat sekalipun di mana ini bercanggah dengan kepercayaan masyarakat Arab ketika itu. Islam menjamin dan mengangkat kedudukan perempuan setara dengan laki-laki. Maka menjadi satu tanggungjawab hari ini, untuk kita melihat penindasan-penindasan yang terlindung dalam dunia modernisasi dan memikir ulang, apakah makna tauhid yang kita anuti benar-benar membebaskan manusia dari gari penindasan dan apakah kaca mata sesuai untuk memperhalusi ketidakadilan yang berlaku.
Melihat dari kaca mata Feminisme bererti membangun dan mengangkat pengalaman perempuan agar ruang berlakunya ketidakadilan gender diperkecil, menutup relasi kuasa yang sangat terkait rapat dengan segala jenis penindasan. Feminisme adalah gerakan untuk mewujudkan keadilan bukan hanya soal hak perempuan, tetapi juga kaum laki-laki dan minoriti.
Cara fikir feminisme memberi dampak besar kerana adanya pengiktirafan tentang berlakunya ketidakserataan gender lalu memberi serta membuka ruang dan kesempatan bagi siapapun, apapun gender, orientasi seksual, kepercayaan, kemampuan ekonomi, mahupun kelas sosial untuk mewakili dirinya sendiri/kumpulannya tanpa harus dibatasi oleh konstruk sosial yang bernanah dalam sistem patriaki demi mencapai keadilan sosial serta menjalani proses demokrasi tulen.
Ia membawa masyarakat menilai kembali dan memahami keistimewaan (privileged) pada dirinya sendiri dan paling utama menanam sikap mendengar pengalaman kelompok perempuan dan minoriti dari terus melulu menuduh orang yang tertindas kerana hanya orang yang mengalami penindasan, punya hak paling tinggi menjelaskan situasi dialaminya.
Penting bagi kita mendengar pengalaman perempuan, kerana dalam kebanyakan situasi, suara mereka inilah yang selalu tenggelam. Feminisme ini seperti alat bantu meraih keadilan sosial yang lebih jujur. Dalam dunia bersalut fikiran patriraki, pengalaman perempuan menjadi bukti adanya kelompangan dan diskriminasi gender atas perempuan. Lalu, kita boleh menyimpulkan bahawa untuk setiap yang serius berfikir tentang keadilan, dalam kalangan masyarakat tidak kisah dari agama atau bangsa manapun ia, harus mempunyai lensa feminis/gender.
Ini pastinya selari dengan konsep kesamarataan dalam Islam yang membebaskan manusia dari sebarang bentuk penindasan tirani dan diskriminasi. Mempercayai ketauhidan juga membawa makna bahawa semua manusia adalah sama di hadapan Tuhan, tidak kira apa status sosial, kelas gender dan lain-lain. Semua manusia itu dianggap dan dicipta sama rata oleh Tuhan. Perbezaan seorang individu lain dari seorang individu yang lain adalah pengabdian dan kepercayaannya, yang mana tidak ada seorang pun bisa menghakimi kecuali Tuhan, kerana yang teratas, dan yang satu itu, cuma Tuhan.
Ketauhidan dan Feminisme Dimulai Dengan Membangun Cinta
Ketauhidan dan Feminisme barangkali kedengaran jauh, aneh dan sesat. Ketauhidan membebaskan manusia dari sebarang taghut dengan mempercayai keesaan Tuhan serta bergerak menghapuskan jelaga-jelaga penindasan sosial. Cara pandang Feminisme membebaskan manusia dari jatuh terperangkap menjadi jurubicara dan tindakan bagi menguatkan hujah-hujah serta budaya penindas. Jika wujudnya persamaan, sudah pasti adanya perbezaan. Namun keduanya hanya dapat dibangun dibangun dengan kecintaan jujur pada keadilan sosial untuk membebaskan tubuh, fikiran, jiwa dari sebarang bentuk penindasan dan tirani.
Kata Che Guevara, Revolusi yang jujur dipandu dengan perasaan cinta. Menumbuhkan cinta bermakna kita mesti mencintai dan memahami cinta itu sendiri kerana cinta, adalah asas pada revolusi. Baik revolusi secara aksi mahupun revolusi pemikiran.
Revolusi adalah seperti adegan seks dalam politik kerana dalam revolusi tergantung keghairahan, drama dan sekaligus potensi tinggi bagi melakukan perubahan. Perubahan dapat dilaksanakan dengan mengubah ketakutan menjadi keberanian. Kepedihan menjadi kegembiraan. Kematian menjadi upacara dirai kerana kepercayaan yang satu pada tuhan serta keinginan menentang penindasan dari bentuk apa pun akan menumbuhkan potensi cinta pada jiwa lain agar bangkit mengatakan TIDAK pada segala kejahilan dan ketidakadilan.
Cinta adalah emosi dalam manusia sekiranya digerakkan pasti melahirkan aksi luarbiasa tidak kira di mana dan siapa. Menonjolkan rasa cinta, optimis, marah dan benci pada penindasan adalah kekuatan emosi luar biasa yang mesti disebar benihnya ke masa depan. Cinta ini mesti ditanam dalam mimpi-mimpi revolusi sebagai satu mimpi kolektif jiwa-jiwa yang mencintai keadilan untuk menyatu. Cinta pada hidup, cinta sesama manusia, cinta pada keadilan sosial adalah nilai penting dalam membangun keberanian berimaginasi dan memperhalus makna dalam tauhid sendiri kerana untuk hari-hari depan, kita mesti mulai membangun masyarakat yang tidak terpisah dengan agama, feminisme dan cinta.
Artikel ini adalah pandangan, pendapat dan idea peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian EMPOWER Malaysia.
Comments