top of page
Writer's picturemyempower

MENUMBUH.

Updated: Sep 13, 2021

Hari ini aku dilahirkan. Sebagai seorang perempuan. Tanggal 1, bulan delapan, 1949, Mak aku mengendong aku sambil berbisik, “Sayang ibu, selamat tiba”, Ayah mengangkat lalu melaungkan iqamat dengan perlahan, “AllahhuakbarAllahhuakbar, Laillahaillahllah.”

Sepuluh tahun lepas aku dilahirkan. Sebagai seorang perempuan. Tanggal 1, bulan delapan 1959, Aku kata pada Ayah, “Ayah nak ikut ayah keluar?” “Tak payah, kau duduk rumah dengan mak kau.”, “Tapi ayah, adik boleh pula?” “Kau tu perempuan. Dah pergi sana. Duduk dengan mak kau di dapur sana.” Oh, perempuan kena duduk rumah. Oh, perempuan tempatnya di dapur.

Lima belas tahun aku dilahirkan sebagai perempuan, Tanggal 1, bulan delapan 1964, “Ayah, taknak kahwin! Saya mahu sekolah!”, “Kau jangan melawan cakap ayah. Nanti kau dah tua, tak lawa siapa nak kan kau.” “Ayah! Kawan-kawan saya semua belum kahwin.” “Aku cakap jangan melawan. Belajar tinggi-tinggi pun dapur juga kau duduk. “Ayah, ayah…..” “Kau nak jadi anak derhaka?” Oh, perempuan harus kahwin mengikut pilihan orang tua. Oh, perempuan tidak layak bercinta. Oh, perempuan senang-senang menjadi anak derhaka.

Dua puluh lima tahun lepas aku dilahirkan sebagai perempuan, Tanggal 1, bulan delapan 1974, “Abang, sejak kita kahwin, saya keseorangan, tak ada teman, boleh saya bekerja?” “Kerja? Kau fikir kau boleh hidup diluar sana? Kau tu lemah, bodoh, mana ada orang yang mahu kau bekerja.” “Atau kau, sebenarnya mahu cari lelaki lain?” Oh, perempuan tidak bisa berteman. Oh, perempuan tidak bisa bekerja.

 

Tanggal enam bulan tiga, 1977. Hari ini, aku melahirkan seorang anak perempuan. Aku mengendongnya, “Oh sayang ibu, mengapa kamu dilahirkan perempuan, dunia ini bukan untuk kamu.”, Ayah mengangkat aku, Lalu melaungkan iqamat dengan perlahan, “AllahhuakbarAllahhuakbar, Laillahaillahllah.”

Tanggal 6 bulan 3, 1995, Lapan belas tahun yang lepas, aku dilahirkan sebagai perempuan, “Ayah, Bunga dah besar, Bunga mahu sambung belajar.” “Tak boleh.” “Bunga mahu keluar.” “Tak boleh.” “Bunga mahu kerja.” “Tak boleh.” “Bunga mahu bercinta.” “Tak boleh.” “Jadi apa yang boleh?” “Duduk di rumah, jaga adik-adik.” “Tak, ayah silap, ada satu perkara lagi yang Bunga boleh.” “Apa?” “Bunga boleh tinggalkan Ayah.” “Bunga, Jangan kau berani!” “Selamat tinggal Ayah.”

“Ibu, Bunga rindu ibu, kenapa ibu tinggalkan Bunga?” “Sayang Ibu, Bunga, Perempuan digambarkan sebagai bunga bukan kerana ia cantik semata-mata Tetapi kerana Bunga itu tidak pernah mati. Layunya bukan sebarang layu, Layunya menumbuhkan benih yang baru, Bunga yang baru, Yang lebih segar dan bebas terbang ditiup angin”

Tanggal 5 bulan 7, 1980, Hari ini, akukan layu. Tapi layuku bukan sekadar layu. Layuku menumbuhkan sekuntum bunga baru.

5 views0 comments

Recent Posts

See All

Kommentare


bottom of page